Pergerakan Puteri Umno meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya meminta maaf di atas kenyataan menggores hati Puteri Umno Kelantan.
Bagaimanapun, tidak memaksa permohonan maaf itu dilakukan kerana yakin tindakan tersebut dibuat disebabkan pembangkang berasa terancam dengan gerak kerja dilakukan pergerakan berkenaan.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya melihat insiden berkenaan sebagai bukti keberkesanan program dijalankan suatu yang membimbangkan Pas.
“Sebagai pemimpin yang memegang gelaran ‘tok guru’, tindakan tersebut adalah keterlaluan apabila beliau sanggup melakukan sesuatu hingga menghina rakan seagama.
“Apabila perkataan itu keluar, kita melihat senario ini sebagai kebimbangan beliau dengan aktiviti yang dijalankan Puteri. Kalau tidak, kita tidak dapat gelaran ‘beruk’ itu,” katanya ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama Pergerakan Puteri Umno Kelantan dan menyempurnakan gimik penyerahan komputer riba kepada Ketua Puteri bahagian di Pejabat Umno Negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, Puteri Umno hanya menjalankan tugas diamanahkan jentera parti dalam meraih sokongan rakyat dan seharusnya perkara itu dilihat dalam aspek lebih profesional.
Dalam perkembangan lain, Rosnah berkata, Nik Aziz perlu memohon maaf kepada rakyat Kelantan kerana gagal mentadbir negeri itu.
Rosnah berkata, Kerajaan Pas Kelantan yang mentadbir negeri ini sejak tahun 1990 lalu gagal menyediakan kemudahan asas terbaik kepada rakyat, terutama bekalan air bersih.
No comments:
Post a Comment