Seluruh Felda di negeri ini masih menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) biarpun pelbagai usaha dilakukan pembangkang untuk menangani hati peneroka di kawasan berkenaan.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad berkata, tindakan dilakukan pembangkang dengan menggempur kawasan peneroka tidak akan berhasil kerana mereka hanya menaburkan janji tidak masuk akal, sedangkan warga Felda sudah bijak menilai sejauh mana kerajaan membantu mereka.
“Ada juga pihak tidak bertanggungjawab memberi tanggapan salah terhadap pengurusan Felda yang meminta peserta menyerahkan geran mereka, sedangkan langkah itu sebenarnya bagi melihat nama pewaris peserta saja.
“Ini yang kita kesalkan... Pembangkang suka main-mainkan perasaan masyarakat peneroka sahaja.
“Oleh itu, kita harap masyarakat peneroka terus bersama BN untuk memimpin mereka dengan lebih maju,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sihat Felda Wilayah Felda Raja Alias di Dewan Orang Ramai Felda Jelai Kompleks, di sini kelmarin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemas, Datuk Zainab Nasir; Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Dr Emel Faizal Datuk Mokhtar; Pengurus Besar Felda Wilayah Raja Alias, Izham Mustafa dan Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Gabungan Wilayah Raja Alias, Ramlah Jelani.
Sementara itu, Mohd Isa turut berharap agar masyarakat peneroka tidak gusar dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia kerana ia tetap menjadi syarikat milik bumiputera.
“Jangan percaya apa diperkatakan pembangkang dalam isu ini kerana saham masih boleh dibeli dan dimiliki mana-mana individu, termasuk peserta Felda serta syarikat bumiputera,” katanya.
No comments:
Post a Comment