Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya buat kali terakhir di sini, hari ini.
Sharizat yang tiba pada pukul 4 petang untuk memberi amanat terakhir pada perhimpunan bulanan tertutup itu, disambut dengan penuh meriah oleh warga kementerian.
Pada 11 Mac lalu, Shahrizat mengumumkan peletakan jawatanya dalam cabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai Senator untuk penggal pertama tamat pada 8 April berikutan kes NFCorp yang melibatkan keluarganya.
Shahrizat merupakan menteri pertama menerajui Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Keluarga pada 2001 sebelum ia bertukar nama kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau memegang jawatan itu sehingga Mac 2008, apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum yang diadakan pada tahun itu.
Namun beliau dilantik sebagai Penasihat Khas bertaraf Menteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebelum dilantik sebagai Senator dan Menteri dalam pembentukan kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno dan Barisan Nasional sebelum ini telah mengambil cuti rehat selama tiga minggu bermula 13 Januari supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan penglibatan dirinya dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Shahrizat dijadual menghadiri beberapa majlis kementerian pada esok dan lusa sebelum mengadakan sidang media di ibu negara, Ahad ini iaitu hari terakhir sebagai Menteri.
Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009 dan tempoh pelantikan sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha (KPWKM) Datuk Dr Noorul Mohd Nur menyifatkan Shahrizat sebagai Menteri yang berdedikasi dan sentiasa memastikan setiap permasalahan atau aduan orang ramai diselesaikan segera.
Menurutnya, sumbangan besar Shahrizat terhadap wanita negara ini ialah berhubung pindaan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyaksikan tiada lagi diskriminasi berasaskan gender.
No comments:
Post a Comment