Salahuddin dicabar tanding di Batu Pahat

Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika yakin mampu memberi saingan kepada perikatan itu.

Sehubungan itu, menurut Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi, beliau yakin Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak akan berjaya di Johor.

“Kalau berani datanglah bertanding di Batu Pahat. Kedatangan dia (Salahuddin) amat dialu-alukan kerana kita yakin dia tidak akan berjaya,” kata beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Mohd Puad berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib Salahuddin yang dilihat sudah tidak diterima oleh rakyat Kelantan sehingga terdesak untuk mencari tempat baru di negeri ini.

“Saya simpati sebab rakyat Kelantan seolah-olah sudah buang dia sebab itu dia terdesak datang ke Johor.

“Di Kelantan juga sudah tidak ada ruang untuk dia kerana semua pemimpin yang lain mahu mencari tempat selamat untuk menang,” kata beliau hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran itu diminta mengulas kenyataan Salahuddin yang mengesahkan akan bertanding mewakili Pas dalam PRU13 dan sedang mengintai tiga kerusi Parlimen di negeri ini.

Salahuddin mengakui beliau sedang mempertimbangkan dengan mendalam tiga bahagian Parlimen untuk dipilih - sama ada bertanding di peringkat pusat ataupun negeri.

Tiga kawasan yang dimaksudkan itu sudah tidak asing bagi Salahuddin iaitu Batu Pahat, Pulai dan kampung halamannya di Tanjong Piai.

Sama ada bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) ataupun kemungkinan kedua-duanya sekali akan diumumkan dalam waktu terdekat, kata beliau.

"Saya tidak boleh nafikan kerana ia adalah kawasan yang sedang saya lihat dengan serius.

"Tanjong Piai adalah tempat kampung halaman saya. Batu Pahat pula saya pernah tinggal di sana, manakala Pulai tidak asing pada saya kerana bersekolah dan mempunyai ramai kawan di sana.

"Tiada masalah bagi saya untuk bertanding di mana-mana satu kerusi ini. Kesemua kerusi ini dilihat menarik untuk saya bertanding," kata Salahuddin kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dialog Wartawan di Johor Bahru kelmarin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Piai, Datuk Wee Jeck Seng menyifatkan keputusan Salahuddin sebagai senario biasa dalam politik tanah air dan tidak akan menggugat kedudukan BN di Johor.

“Biasalah dia ke sana dan ke sini kerana itu hak dia untuk bertanding di mana-mana, jadi takkanlah dengan kedatangan dia ke Johor akan menimbulkan sebarang isu.

“Bagi saya, kita (BN) dah jaga kawasan masing-masing dengan baik, jadi rakyat boleh menilai dan membuat pilihan dengan tepat,” katanya.

Selain itu katanya, beliau tidak pasti motif sebenar kedatangan Salahuddin ke Johor, namun menegaskan kedudukan BN di Johor akan tetap kukuh dan teguh dengan sokongan rakyat setempat.

“Dalam apa situasi sekalipun, BN akan sentiasa kuat di negeri ini kerana kita sentiasa jaga rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment