Saya pasti BN dan UMNO akan tumbang di Batu Pahat kata TG Hadi Awang

”Saya pasti BN (Barisan Nasional) dan juga UMNO akan turut tumbang di kawasan kelahiran mereka di Batu Pahat,” demikian penegasan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sokongan daripada pengundi muda di pedalaman dan kaum bukan Melayu dilihat penyumbang ke arah itu.

Tambahnya lagi, PAS Johor membayangkan akan meletakkan calon anak tempatan di kerusi yang ditandingi oleh parti Islam itu kerana ia agak mudah diterima masyarakat sekaligus menolak persepsi PAS kekurangan tokoh yang berwibawa.
”Kita utamakan pemimpin tempatan kerana perubahan di Johor memerlukan sokongan rakyat tempatan. Pastinya jika anak tempatan bertanding ia agak mudah diterima,” katanya lagi.

Sementara itu, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi turut menegaskan bahawa jawatan Menteri Besar adalah milik orang Melayu-Islam bagi menamatkan desas desus pihak tertentu yang berhasrat meletakkan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng ke jawatan tersebut jika menang dalam PRU 13.

”Kami telah bincangkan dengan pemimpin DAP dan PKR tentang perkara ini.

”Tidak timbul lagi isu siapa yang akan menjadi Menteri Besar jika PR menang di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pendekatan yang digunakan PAS Johor dalam Pilihan raya Umum (PRU) 13 nanti ialah dengan meletakkan calon muda dan wanita, dijangka mampu memberi saingan sengit buat UMNO-BN.

Disamping itu, usaha tersebut disifatkan satu lagi strategi baru jika menerima respon baik dari kawasan dan cawangan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment