Umno Johor yakin beberapa kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini mampu ditawan kembali dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja ke peringkat akar umbi yang dilakukan oleh parti itu dengan menyelami masalah rakyat serta berusaha menyelesaikannya.
"Kita menggunakan pendekatan berorientasikan khidmat untuk mendekati rakyat dan kini kita dapati rakyat mulai sedar kalau mereka memenangkan calon pembangkang, mereka tidak dapat apa-apa.
“Rakyat terutama di kawasan yang dimenangi Pas memang dah nampak perkara ini kerana setiap kali mereka perlu bantuan, calon mereka tidak dapat tolong kerana pelbagai alasan seperti tiada peruntukan dan kuasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau melahirkan keyakinan BN mampu menawan kembali beberapa kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini seperti kerusi Parlimen Bakri (DAP) dan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Maharani (Pas).
Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden Pas Salahudin Ayub bertanding di negeri Johor, Samsol Bari secara sinis berkata tindakan itu mencerminkan betapa lemahnya pimpinan Pas Johor kerana terpaksa memanggil pemimpin yang disifatkan telahpun ditolak oleh Pas Kelantan sendiri untuk membantu mereka dalam PRU-13.
“Dia (Salahudin) sebenarnya memang nak balik di sini atau sebab orang sana (Pas Kelantan) dah tak nak dia," dakwanya.
Katanya, Umno Johor sedikit pun tidak terjejas kehadiran anggota Parlimen Kubang Kerian yang dilaporkan bakal bertanding antara tiga kawasan iaitu kerusi Parlimen sama ada di Batu Pahat, Pulai atau Tanjung Piai.
Dengan kekuatan 480, 637 anggota Umno di negeri ini, Samsolbari melahirkan keyakinan Johor akan terus kekal menjadi kawasan kubu kuat Umno dalam PRU13 nanti.
No comments:
Post a Comment