Gara-gara menimbulkan kekecohan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Datuk Ronald Kiandee mengarahkan tiga Anggota Parlimen keluar dari dewan sehingga persidangan hari ini berakhir.
Kiandee mengarahkan N. Gobalakrishnan (Bebas-Padang Serai), Datuk Saifuddin Nasution (PKR-Machang) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meninggalkan sesi perbahasan pertimbangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 dan usul anggaran perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama, 2011.
Gobalakrishnan, yang tidak berpuas hati dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), mengejek penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika beliau bangun untuk menyokong permintaan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) yang meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
"Padang Serai, kita ada perkara serius kita hendak bincang. Kalau ada yang lain tidak penting, kita bawa ke kantin," katanya sambil meminta Gobalakrishnan duduk.
Namun, anggota Parlimen Bebas itu berdegil dan enggan duduk sehingga Kiandee terpaksa mengarahkan bentara mengiringi Gobalakrishnan keluar dari Dewan Rakyat.
"Saya minta Yang Berhormat keluar sehingga selesai (persidangan) dewan hari ini," katanya.
Sebelum meneruskan perbahasan, Kiandee sekali lagi mengingatkan Anwar dan Azan supaya tidak lagi mempertikaikan mengenai jumlah peruntukan perbelanjaan yang hendak dibahaskan kerana Timbalan Menteri telah memberikan penjelasan awal mengenai perkara itu.
"Saya tetap dengan keputusan saya perbahasan ini diteruskan dan minta Menteri Kewangan menilai kembali tuduhan-tuduhan yang dibuat," katanya. [Sambungan]
No comments:
Post a Comment