Susu 1 Malaysia punca 20 murid keracunan

Di Temerloh, lebih 20 murid sebuah sekolah rendah di daerah ini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat alahan selepas meminum susu 1Malaysia, semalam.

Sinar Harian dimaklumkan kejadian berlaku tengah hari kelmarin selepas sekumpulan murid mengadu sakit perut dan muntah tidak lama selepas minum susu berkenaan.

Beberapa ibu bapa murid juga mendakwa kejadian cirit-birit dan muntah itu berlanjutan hingga semalam sehingga ada antara mereka dihantar ke klinik kesihatan kerajaan serta swasta untuk mendapatkan rawatan.

Perkara itu bagaimanapun gagal disahkan pengurusan sekolah t yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian kepada wakil media yang cuba mendapatkan maklum balas.

Tinjauan media ke Pejabat Pelajaran Daerah juga gagal mendapat maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Sinar Harian difahamkan tidak semua murid yang minum susu itu mendapat cirit-birit.

Ada sumber memaklumkan sesetengah murid yang alahan sahaja mengalami cirit-birit dan muntah.

Bagi mendapat kepastian, media membuat tinjauan ke sekolah terbabit tengah hari semalam dan ada murid mengaku mengalami cirit-birit dan muntah selepas minum susu itu.

Namun tindakan media itu bagaimanapun dihalang pihak tertentu di pekarangan sekolah. Sinar Harian juga dimaklumkan beberapa minggu lalu terdapat sebuah sekolah rendah luar bandar mengalami kesan sama selepas minum susu terbabit.

No comments:

Post a Comment