Bertanding di Johor bukan bunuh diri kata Salahuddin

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menolak tanggapan umum bahawa hasratnya bertanding di negeri kelahirannya, Johor - kubu kuat Umno - adalah tindakan "membunuh dirinya" dalam karier politik yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.

Ahli parlimen Kubang Kerian menegaskan beliau tidak takut berdepan kekalahan kerana ia merupakan asam garam dan adat berjuang, sebaliknya beliau mahu menjadi "sebahagian pencipta sejarah perubahan" di negeri itu.

"Jadi kalau saya tidak berani pada hari ini untuk melaksanakan tugas ini, apa nilai saya sebagai orang politik. Apa nilai saya sebagai pemimpin kanan dalam PAS. Kalau saya hanya mahu pentingkan keselesaan, kalau saya hanya mahu terus kekal di Parlimen, saya boleh kekal di Kubang Kerian, saya tidak ada masalah.

"(Pada) saya tak ada istilah bunuh diri. Saya pergi untuk memegang panji-panji perjuangan bersama dengan pasukan Pakatan Rakyat untuk membuat satu perubahan besar.

"Ini yang saya rasa besar hati. Saya rasa dihormati dan dihargai rakan-rakan di sana. Oleh itu saya beritizam untuk bekerja sekuat mungkin untuk kita sama-sama mencipta satu sejarah baru di Johor," katanya.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam, Salahuddin berkata jika beliau ingin berada dalam zon selesa, beliau bertanding di kawasan selamat yang dimenangi PAS khususnya di Pasir Mas dan Titiwangsa.

No comments:

Post a Comment