Gas pemedih mata tidak mudaratkan kesihatan kata Najib

Presiden UMNO Najib Razak bagi pihak Majlis Tertinggi UMNO mengucapkan tahniah kepada polis kerana telah mengendalikan perhimpunan BERSIH 3.0 dengan baik, di samping menyifatkan perbuatan menyerang pihak berkuasa dan merempuh gate yang didirikan sebagai budaya yang keterlaluan dan ganas.

Perdana Menteri Najib Razak berasa kesal dengan keganasan yang berlaku dalam perhimpunan, menganggap perbuatan merempuh sekatan polis telah mencemar imej negara walaupun bukan semua peserta berbuat demikian.

Sementara itu, beliau mendakwa bahawa "menggunakan gas pemedih mata dan water cannon merupakan satu option yang tidak memudaratkan kesihatan", jika dilihat dari segi kesihatan. Beliau menganggap option ini lebih baik berbanding pertembungan secara terus.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, malam tadi. Najib juga mengecam peserta perhimpunan BERSIH 3.0 kerana tidak menghormati "rule of law", menurutnya.

Najib mempertahankan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan BERSIH 3.0 mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka. Beliau berkata kerajaan sebaliknya menawarkan Stadium Merdeka sebagai tempat perhimpunan kerana ia lebih mudah untuk dikawal.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada kerajaan menganggap polis bertindak keterlaluan kerana wartawan turut dikasari polis ketika membuat liputan di tempat kejadian, Najib berkata polis juga menjadi mangsa keganasan. Beliau mendakwa siasatan akan dijalankan seandainya peristiwa wartawan dikasari polis berlaku. "Saya tidak akan menutup apa-apalah," katanya.

Najib menjelaskan bahawa polis yang bertugas berada dalam tekanan, lantaran beberapa peristiwa yang berlaku, termasuk ada yang kena pukul, kereta diterbalikkan, malah ada yang rasa hampir mati. Ketika ditanya balik bahawa wartawan juga menjalankan tugas dalam tekanan, Najib sebaliknya menganggap wartawan terlalu emosi.

Najib menambah, kerajaan akan mendedahkan rakaman video kejadian pada hari itu melalui Kementerian Dalam Negeri atau polis, kerana sesetengah pihak cuba menyebarkan maklumat yang sama ada benar atau separuh benar di internet atau laman sosial.

1 comment:

  1. Dia Perdana Menteri Cap Ayam... bukannya dia tahu apa-apa. Cakap ikut sedap mulut dia je.

    Sesungguhnya Malaysia dalam kerugian sebab dapat Perdana Menteri Cap Ayam, dari parti UMNO Cap Ayam.

    ReplyDelete