Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim kecewa kerana ada pihak mendahului keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan kedudukan beliau sebagai wakil rakyat.
Katanya, ada pihak mendakwa beliau sudah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, malah ada ura-ura mengatakan tempatnya akan diambil alih Adun Angkat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya tidak terabai.
Syed Sobri ketika ditemui menegaskan, beliau masih Adun Kuala Nerang selagi Jabatan Insolvensi belum mengeluarkan laporan rasmi berhubung status muflisnya itu.
“Saya anggap saya masih wakil rakyat Dun Kuala Nerang. Saya tetap akan teruskan tugas sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana masih banyak perkara belum selesai, termasuk program yang sudah diatur,” katanya.
Menurutnya, beliau bersedia berundur dengan syarat SPR memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Nerang perlu dikosongkan selepas Jabatan Insolvensi mengeluarkan laporan rasmi berhubung statusnya.
“Sehingga keputusan SPR dikeluarkan untuk kosongkan kerusi Dun Kuala Nerang, selepas itu baru saya akur dan akan berundur,” katanya.
Syed Sobri yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap berkata, walaupun dirinya diisytihar muflis tetapi selagi keputusan SPR belum dikeluarkan, beliau masih wakil rakyat.
“Saya ikut prosedur, saya sudah maklumkan kepada Speaker Dun, Datuk Dr Abd Isa Ismail dan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku ketua kerajaan, dan selebihnya kita tunggu laporan Jabatan Insolvensi dan SPR,” katanya.
Syed Sobri mendakwa beliau seolah-olah berseorangan berdepan kemelut ini, apabila Umno Kedah mengumumkan akan menjadikan kerusi Dun Kuala Nerang sebagai kawasan angkat.
“Saya berterima kasih kepada Umno yang banyak bantu saya sebelum ini tetapi saya juga banyak menyumbang kepada Umno. Pengorbanan saya kepada parti bermula sejak tahun 1995. Malah pada 1999, saya dipilih sebagai salah seorang calon PRU tetapi bagi laluan pada rakan, termasuk tahun 2004,” katanya.
Menurutnya, beliau juga berkorban jawatan demi untuk melihat kesepakatan dalam Umno Bahagian apabila memberi laluan kepada Datuk Mahdzir Khalid untuk menjadi Ketua Umno Bahagian.
“Ketika itu saya jadi timbalan, sekarang Datuk Ghazali Ibrahim jadi timbalan dan saya sebagai naib. Saya rela korban jawatan saya dan undur, tak ada dalam sejarah Umno, Padang Terap yang pertama buat macam itu. Tetapi dalam situasi ini, takkan biar saya keseorangan,” katanya dengan nada kecewa.
Syed Sobri berkata, perjuangannya tetap bersama Umno kerana darah dagingnya terdiri daripada pejuang-pejuang Umno yang cukup dikenali di Kedah.
“Datuk saudara saya, Tan Sri Syed Omar Syed Abdullah Shahabuddin adalah Menteri Besar Kedah ketiga; Menteri Besar Kedah keempat, Tun Syed Ahmah Syed Mahmud Shahabuddin dan Menteri Besar Kedah kelima, Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Shahabuddin bapa saudara saya. Generasi saya adalah pejuang Umno dan saya juga akan berjuang hingga ke akhir hayat,” katanya.
No comments:
Post a Comment