Tarikh PRU ibarat percaturan politik kata MB Kedah

Penentuan tarikh pilihan raya umum diibaratkan sebagai percaturan politik bagi parti pembangkang di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ini kerana, kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak tradisi lagi, tidak pernah mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal bagi membolehkan semua parti politik bertanding membuat persediaan rapi.

Menurutnya, kerajaan BN hanya akan mengumumkan tarikh pilihan raya apabila mereka yakin boleh menang berbanding kebanyakan negara jiran seperti Indonesia dan Myanmar yang memberitahu rakyat bila pilihan raya akan diadakan.

“Tarikh PRU13 pun kerajaan tidak mahu umum awal, ia suatu ketidakpastian di negara ini.

“Sudah menjadi amalan kerajaan BN yang enggan umum tarikh lebih awal. Mereka beritahu apabila yakin boleh menang. Saya pun sama di Kedah,” katanya.

Mengulas sama ada Kedah telah menetapkan pendirian untuk mengadakan pilihan raya umum secara serentak dengan pembubaran Parlimen atau berasingan, Azizan berkata, walaupun beliau mempunyai pandangan peribadi, keputusan tetap diputuskan di peringkat pusat.

“Saya hanya beri laporan tentang kewajaran mengadakan pilihan raya serentak atau berasingan kepada Pas Pusat, selepas berbincang keputusan diputuskan Pusat.

“Saya bertindak atas nasihat mereka dan tidak boleh ingkar arahan sebab kami satu pasukan,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya hanya memfokuskan kepada persiapan awal dengan memperkemas jentera pilihan raya parti untuk mempertahan kuasa di Kedah.

“Ikut hati saya, jika yakin buat berasingan saya boleh menang, saya buat berasingan. Jika buat serentak boleh bagi kemenangan pada saya, saya buatlah,” katanya.

No comments:

Post a Comment